Hadiah Dari Ibu Tercinta


HADIAH DARI IBU TERCINTA 

 

بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ . الْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

 

اَللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمدِ نِ الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ وَالْهَادِى إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيمِ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ الْعَظِيمِ

 

سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِين




(Pengalaman Salih Al-Mazy) 

Pada suatu malam bertepatan malam Jumaat, Salih Al Mazy pergi ke masjid Jami' untuk mengerjakan solat Subuh. Kebiasaannya dia berangkat awal sebelum masuk waktu Subuh dan melalui sebuah pekuburan. Di situ Salih akan duduk sekejap sambil membaca apa-apa yang boleh mendatangkan pahala bagi ahli kubur memandangkan waktu Subuh masih lama lagi. 

Tiba-tiba dia tertidur dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar beramai-ramai dari kubur masing-masing. Mereka duduk dalam kumpulan-kumpulan sambil berbual-bual. Al-Mazy ternampak seorang pemuda ahli kubur memakai baju kotor serta tidak berkumpul dengan ahli-ahli kubur yang lain. Dia duduk seorang diri di tepi kuburnya dengan wajah murung, gelisah kerana sedih. 

Tidak beberapa lama kemudian datang malaikat membawa beberapa talam yang ditutup dengan sapu tangan, seolah olah seperti cahaya yang gemerlapan. Malaikat mendatangi para ahli kubur dengan membawa talam-talam itu, tiap-tiap seorang mengambil satu talam dan dibawanya masuk ke dalam kuburnya. 

Semua ahli kubur mendapat satu talam seorang, sehingga tinggallah sipemuda yang kelihatan sedih itu seorang diri tidak mendapat apa-apa. Dengan perasaan sedih dan duka, dia bangun dan masuk semula ke dalam kuburnya. Tapi sebelum dia masuk, Al-Mazy yang bermimpi segera menahannya untuk bertanyakan keadaannya. 

"Wahai hamba Allah! Aku lihat engkau terlalu sedih mengapa?" tanya Salih Al-Mazy. 

"Wahai Salih, adakah engkau lihat talam-talam yang 

dibawa oleh malaikat sebentar tadi?" tanya pemuda itu. 

"Ya, aku melihatnya. Tapi apa benda di dalam talam-talam itu?" tanya Al-Mazy lagi. 

Si pemuda menerangkan bahawa talam-talam itu berisi hadiah orang-orang yang masih hidup untuk orang-orang yang sudah mati yang terdiri daripada pahala sedekah, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa. Hadiah-hadiah itu selalunya datang setiap malam Jumaat atau pada hari Jumaat. 

Si pemuda kemudian menerangkan tentang dirinya dengan panjang lebar. Katanya, dia ada seorang ibu yang masih hidup di alam dunia, tetapi dia selalu sibuk dengan urusan dunia, bahkan dia telah berkahwin dengan suami baru. Akibatnya, dia lupa untuk membacakan Al-Fatihah, berdoa atau bersedekah untuk anaknya yang sudah meninggal dunia sehingga tidak ada lagi orang yang mengingati si pemuda. 

Maka sedihlah si pemuda setiap malam dan hari Jumaat, apabila melihat orang-orang lain menerima hadiah sedang dia seorang tidak menerimanya. 

Al-Mazy sangat kasihan mendengarkan cerita sipemuda, lalu ia bertanya nama dan alamat ibunya agar ia dapat menyampaikan keadaan anaknya. Sipemuda menerangkan sifat-sifat ibunya. Kemudian Al-Mazy terjaga dari tidurnya sambil mengingati mimpinya yang menyedihkan. 

Pada sebelah paginya, Al-Mazy terus pergi mencari alamat ibu pemuda itu. Setelah bertanya ke sana ke mari, maka ada orang yang menunjukkan rumahnya sehingga bertemulah ia dengan ibu sipemuda itu, lalu menceritakan mimpi kepadanya. 

Ibunya menangis apabila mendengar keterangan Al Mazy mengenai nasib anaknya yang sedang merana di alam barzah. Air matanya mengalir membasahi pipinya. Kemudian ia berkata: "Wahai Salih! Memang betul dia adalah anakku. Dialah belahan hatiku, dia keluar dari dalam perutku. Dia membesar dengan minum susu dari dadaku dan ribaanku inilah tempat dia berbaring dan tidur ketika kecilnya." 

Al-Mazy sedih juga melihat keadaan ibu yang meratap dan menangis penuh penyesalan kerana tidak ingat untuk mendoakan anaknya selama ini. 

"Kalau begitu saya minta diri." kata Al-Mazy, lalu bangun meninggalkan wanita itu. 

Apabila dia cuba untuk melangkah, si ibu menahannya agar jangan pulang dulu. Dia masuk ke dalam biliknya lalu keluar dengan membawa wang sebanyak seribu dirham. 

"Wahai Salih, ambil wang ini dan sedekahkanlah untuk anakku, cahaya mataku. Insya Allah aku tidak akan melupakannya untuk berdoa dan bersedekah untuknya selama aku masih hidup." kata ibu itu. 

Salih Al-Mazy mengambil wang itu disedekahkannya kepada fakir miskin sehingga tidak sesenpun dari seribu dirham itu yang tinggal. Ini semua dilakukannya sebagai memenuhi amanah yang diberikan kepadanya oleh ibu pemuda tersebut. 

Pada suatu malam Jumaat yang lain selepas itu, Al Mazy berangkat ke Masjid Jamik untuk solat Jamaah. Dalam perjalanan, sebagaimana biasa ia singgah dipekuburan. Di situlah ia terlena sekejap dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar dari kubur masing-masing. 

Sipemuda yang dahulunya kelihatan sedih seorang diri, kini keluar bersama-sama. Tapi kali ini tidak sedih lagi sebaliknya memakai pakaian putih yang cantik serta mukanya kelihatan sangat gembira. Pemuda itu mendekati Salih Al-Mazy dan berkata: 

"Wahai tuan Salih, aku ucapkan terima kasih kepadamu. Semoga Allah membalas kebaikanmu itu." 

"Hadiah dari ibuku telah kuterima pada hari Jumaat." katanya lagi. 

"Eh, engkau boleh mengetahui hari Jumaat?" tanya Al-Mazy. 

"Ya, tahu." jawabnya. 

"Apa tandanya?" 

"Jika burung-burung di udara berkicau dan berkata "Selamat, selamat pada hari yang baik ini, yakni hari Jumaat." 

Salih Al-Mazy pun terjaga dari tidurnya, maka mimpinya pun terhenti sampai di situ. Ia cuba mengingati mimpinya dan merasa gembira kerana sipemuda telah mendapat rahmat dari Allah disebabkan sedekah dan doa daripada ibunya. 

*Dipetik dari Kitab Kisah Wali-Wali Allah 

Telah menasihati akan guru kami yang dikasihi, Al Arifbillah Sayidi Ahmad Al Hadi Al Hasani Al Maghribi At Tijaniy Hafizahullahu Ta'ala ketika menyatakan pada perkara kelebihan duduk didalam majlis para Waliyullah dan mendengar kisah para Waliyullah; 

"Duduk mendengar cerita Waliyullah itu lebih baik (dan lebih) afdhal dari solat sunat 1,000 rakaat, (kerana solat sunat) 1,000 rakaat itu menaikan (meninggikan) keakuan kamu dan menjadikan kamu syuhud pada amalan kamu".
.

Admin

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama