Kelebihan Selawat Azimiah - Raja Segala Selawat

KEAGUNGAN SELAWAT AZIMIAH


بسم الله الرحمن الرحيم

اَللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ بِنُوْرِ وَجْهِ اللهِ الْعَظِيْمِ ، اَلَّذِيْ مَلَأَ اَرْكَانَ عَرْشِ اللهِ الْعَظِيْمِ ، وَقَامَتْ بِهِ عَوَالِمُ اللهِ الْعَظِيْمِ ، اَنْ تُصَلِّيَ عَلىَ مَوْلَانَا مُحَمَّدٍ ذِيْ الْقَدْرِ الْعَظِيْمِ ، وَعَلَى آلِ نَبِيِّ اللهِ الْعَظِيْمِ ، بِقَدْرِ عَظَمَةِ ذَاتِ اللهِ الْعَظِيْمِ ، فِيْ كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا فِيْ عِلْمِ اللهِ الْعَظِيْمِ ، صَلَاةً دَائِمَةً بِدَوَامِ اللهِ الْعَظِيْمِ ، تَعْظِيْمًا لِحَقِّكَ يَامَوْلَانَا يَا مُحَمَّدُ يَا ذَالْخُلُقِ الْعَظِيْمِ ، وَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِه مِثْلَ ذَلِكَ ، وَاجْمَعْ بَيْنِيْ وَبَيْنَهُ كَمَا جَمَعْتَ بَيْنَ الرُّوْحِ وَالنَّفْسِ ، ظَاهِرًا وَبَاطِنًا ، يَقْظَةً وَمَنَامًا ، وَاجْعَلْهُ يَا رَبِّ رَوْحًا لِّذَاتِيْ مِنْ جَمِيْعِ الْوُجُوْهِ ، فِي الدُّنْيَا قَبْلَ الْآخِرَةِ يَاعَظِيْمُ.



DITERIMA DARIPADA RASULULLAH ﷺ TANPA PERANTARAAN

Selawat Azimiah merupakan selawat yang dianugerahkan oleh Rasulullah ﷺ khusus kepada Empunya Tarekat Ahmadiah Idrisiah ; al Qutb al Nafis al Imam Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani r.a.

Disebutkan di dalam al Nafahat al Aqdasiah fi Syarh al Solawat al Ahmadiah al Idrisiah:

“Cukuplah antara kemuliaan Selawat Azimiah bahawa Sayyidi Ahmad ibn Idris r.a. telah menerima selawat tersebut daripada Nabi Khidir alaihissalam dengan keizinan daripada Rasulullah ﷺ kepadanya. Kemudian Rasulullah ﷺ sendiri mentalqinkan pula selawat tersebut kepada Sayyidi Ahmad Idris r.a. tanpa sebarang perantaraan.”

KUNCI 7 PETALA LANGIT DAN BUMI. SEKALI MENYEBUTNYA BERSAMAAN KADAR BERLIPAT KALI GANDA DUNIA, AKHIRAT SERTA SEISINYA

Perkara ini disebut oleh Rasulullah ﷺ kepada Imam Ahmad ibn Idris r.a:

"Wahai Ahmad, sesungguhnya saya telah menganugerahkan kepada kamu kunci-kunci tujuh petala langit dan tujuh petala bumi; iaitu Zikir Tahlil Makhsus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir. Sekali membacanya bersamaan dengan kadar dunia dan akhirat serta seisinya dengan berlipat kali ganda."

PENGHULU SELAWAT

Ketika Sayyid Muhammad Ali al Sanusi r.a. ditanya, kenapa Selawat Azimiah melebihi selawat-selawat yang lain? Jawabnya:

“Sesungguhnya selawat-selawat di sisi Rasulullah ﷺ itu berbeza-beza mengikut perbezaan martabat pengarangnya dan dekatnya mereka dengan Rasulullah.”

Muhammad Baha’ al Din juga berkata dalam al Nafahat al Aqdasiyah bahawa Selawat Azimiah berkongsi persamaan dan kelebihan dengan ayat al Kursi.

Penjelasannya, bahawa Ayat Kursi dibuka dengan lafaz al Jalalah (الله) dan ditutup dengan lafaz al ‘Azim. Begitu juga dengan Selawat Azimiah yang dibuka dengan lafaz اللهم (Ya Allah) dan ditutup dengan lafaz al ‘Azim.

Ayat Kursi merupakan penghulu bagi ayat-ayat al Quran. Manakala Selawat Azimiah merupakan penghulu bagi selawat-selawat yang lain.




SEKALI MEMBACANYA MENYAMAI MEMBACA SEJUTA GANDAAN 20 KALI DALAIL KHAIRAT

Disebutkan di dalam Ta’mir al Auqat, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda kepada sebahagian Ahli Arifin:

“Sesungguhnya sekali membaca selawat ini (Selawat Azimiah) menyamai membaca Selawat Jazuliah (Dalail al Khairat) sebanyak 1,000,000 (sejuta) kali, kemudian digandakan sehingga 20 kali ganda.”

MAGNET TERKUAT KEPADA NABI ﷺ

Berkata Sayyid Ahmad al Syarif r.a:

“Sekuat-kuat tarikan untuk dapat melihat Baginda ﷺ ialah Selawat Azimiah.

DAPAT SENTIASA MELIHAT NABI ﷺ

Sebahagian Ahli Kasyaf telah melihat Rasulullah ﷺ, lalu dia berkata kepada Baginda ﷺ:

“Sesungguhnya saya ingin sentiasa melihatmu (wahai Rasulullah ﷺ).”

Lalu Baginda ﷺ bersabda:

“Sekiranya kamu inginkan sedemikian, maka amalkanlah Selawat Azimiah. Berterusan dan perbanyakkanlah membacanya. Sesungguhnya Selawat Azimiah adalah RUH saya."




KISAH PENGAMAL SELAWAT AZIMIAH

Sayyid Ibrahim al Rasyid r.a menceritakan: Antara karamah Sayyid Ahmad ibn Idris r.a adalah berkaitan kisah salah seorang anak muridnya yang telah meninggal dunia di Makkah al-Mukarramah dan telah dikebumikan di perkuburan al-Ma‘la.

Seorang ahli kasyaf dalam kalangan ikhwan Ahmadiah yang memiliki pandangan mata hati yang bercahaya berada di situ sewaktu jenazah sedang dikebumikan. Dia telah melihat Malaikat Izrail alaihissalam turun ke bumi membawa hamparan-hamparan dari syurga dan pelita-pelita yang sangat indah. Kuburnya itu telah diluaskan sejauh mata memandang dan hamparan itu telah dihamparkan kepada jenazah itu lalu ia dihiasi dengan pelita yang indah.

Maka si ahli kasyaf itu telah berkata-kata kepada dirinya sendiri, “Semoga saya dimuliakan ketika kematian saya seumpama kemuliaan ini.” Lantas, Malaikat Izrail berpaling kepadanya seraya berkata: 

“Setiap daripada kalian (ikhwan Tarekat Ahmadiah) akan mendapat nikmat seumpama ini dengan keberkatan Selawat Azimiah.”

Diriwayatkan daripada Imam Ahmad ibn Idris r.a. bahawa beliau berkata:

“Sesiapa yang menghafal Selawat Azimiah dalam dadanya, nescaya diluaskan kuburnya sejauh mata memandang, dihamparkan kuburnya dengan kain sutera halus dan tebal yang bersulam dari syurga dan dibukakan baginya pintu gerbang menuju ke syurga.”

MENGANGKAT MARTABAT KEPADA YANG LEBIH TINGGI

Syeikh Muhammad Zahir al-Ahmadi berkata:

“Sesungguhnya Selawat Azimiah kepunyaan Sayyidi Ahmad ibn Idris r.a sekiranya dibaca sebanyak 12 kali dan dihadiahkan pahalanya kepada si mati yang pernah berbuat dosa (ketika hayatnya), maka Allah SWT akan mengangkatnya kepada suatu martabat yang tinggi dengan keberkatan selawat tersebut. Seterusnya, dia akan tergolong dalam kalangan orang-2 yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah SWT kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-2 yang taat).”

Beliau juga telah menaqalkan bahawa Imam Ahmad ibn Idris r.a berkata berkenaan hal ini:

“Sesungguhnya hal demikian diperakui di sisi Ahli Kasyaf dalam kalangan Ahlillah dengan penyaksian dan juga pandangan mata.”

Sekiranya orang yang telah meninggal dunia mendapat nikmat sedemikian, apatah lagi orang yang hidup.


DIKURNIAKAN GANJARAN BERTERUSAN SEHINGGA KIAMAT

Imam Ahmad ibn Idris r.a. juga berkata: (Ahli kasyaf) berkata kepada beliau:

“Sesungguhnya Selawat Azimiah berterusan ganjaran dan pahalanya di dunia dan akhirat. Ganjarannya tidak terhenti walaupun seseorang itu telah memasuki syuga, bahkan ia berganda-ganda tanpa pengakhiran. Hal ini kerana orang yang membaca selawat ini telah berselawat ke atas Nabi ﷺ dengan mengucapkan : 

(صلاة دآئمة بدوام الله العظيم)


“Dengan selawat yang berkekalan sebagaimana kekalnya Allah yang Maha Besar,” maka selawat ini tidak akan terhenti. Selawat yang diganding pengekalannya dengan kekalnya Allah yang Maha Besar. Begitulah keadaan selawat tersebut berlipat kali ganda ganjarannya dan sentiasa diperbaharui tanpa penghujung di dunia, alam barzakh, padang Mahsyar dan syurga.”

BILANGAN DI BACA

  • Dibaca 1 kali selepas setiap solat fardhu.
  • Boleh juga dibaca 100 kali bagi mutasabbib dan 2,000 kali bagi mutajarrid.
  • Ada kaedah suluk Ahmadiah di baca 70 kali sebelah malam, buat 7 kali malam (seminggu) start malam Juma'at, kena berpuasa di siang hari juga seminggu. (diwiridkan bersama zikir asas lain Tarekat Ahmadiah)
  • Ada kaedah biasa di baca 7 kali sebelah siang dan 7 kali sebelah malam.
  • Ada juga di baca 11 kali sehari semalam.
  • Ada juga baca setakat mampu dalma sehari semalam.

Ada pelbagai kaedah yang lain lagi. Jumpalah ahlinya.

.



Playlist Selawat Azimiyyah (Klik)



Admin

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama