Lafaz Dan Maksud Selawat Azimiah (Text Dan Gambar)
byAdmin-
0
SELAWAT 'AZIMIAH
Sayyid Ahmad ibn Idris r.a. mengatakan, Rasulullah ﷺ pernah menyuruh beberapa orang ikhwan supaya berkhalwat dengan membaca Selawat 'Azimiah. Lalu ikhwan tersebut menurut arahan Rasulullah ﷺ dengan sepenuh hati mereka. Lantaran itu, Allah membuka pintu-pintu di antara mereka dengan Allah dan RasulNya.
Syeikh Muhammad Tahir al Rasyidi al Ahmadi r.a. berkata : Apabila seseorang membaca Selawat 'Azimiah sebanyak 12 kali, lalu dihadiahkan pahalanya kepada ruh orang mati yang mempunyai banyak dosa, nescaya Allah akan memindahkannya ke tempat yang tinggi iaitu ke tempat-tempat Anbiya', Siddiqin dan Solihin.
Sayyid Ahmad ibn Idris r.a. berkata :
"Hendaklah kamu lancarkan membaca selawat yang mulia ini sepertimana kelancaran kamu membaca surah al Fatihah, kerana orang yang telah menghafal selawat ini apabila mati akan diluaskan kuburnya seluas antara langit dan bumi, dibentangkan untuknya beberapa hamparan daripada syurga dan diterangi cahaya sehingga Hari Kiamat."
Sayyid Ahmad ibn Idris r.a. berkata lagi :
"Di antara keistimewaan membaca selawat ini, ialah orang yang sering dan kerap membacanya akan dapat berjumpa dan berhimpun dengan Rasulullah ﷺ."
Sayyid Muhammad Tahir r.a. berkata:
Telah thabit di sisi ahli Kasyaf melalui pandangan mereka, bahawa pahala Selawat 'Azimiah berkekalan di dunia dan di akhirat tanpa terputus. Sekiranya orang yang membacanya dimasukkan ke dalam syurga, ganjarannya terus digandakan tanpa noktah kerana orang yang membacanya menyebut di dalam lafaz selawatnya :
صَلَاةً
دَائِمَةً بِدَوَامِ اللهِ العَظِيْمِ
"(Selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad ﷺ dengan) selawat yang berkekalan sepertimana kekalnya Allah Yang Maha Besar."
Allah Yang Maha Besar adalah kekal abadi, maka selawat ini berkekalan dengan kekalnya Allah. Ini bererti pahalanya sentiasa digandakan dan diteruskan tanpa ada penghujungnya.
Sayyid Bahauddin menulis di dalam kitab Takmilah :
Di antara kebaikan Selawat 'Azimiah ialah ia mempunyai beberapa persamaan dengan ayat al Kursi yang merupakan penghulu ayat al Quran. Ayat al Kursi dimulai dengan lafaz Allah dan diakhiri dengan lafaz al Azim. Begitu juga dengan Selawat 'Azimiah; dimulai dengan lafaz Allahumma dan diakhiri dengan lafaz Ya 'Azim.
Ayat al Kursi merupakan penghulu bagi segala ayat al Quran, manakala Selawat 'Azimiah merupakan penghulu bagi segala selawat, melainkan selawat yang datang daripada Rasulullah ﷺ dengan hadith yang sohih seperti Salawat Ibrahimiah yang dibaca dalam tasyahhud akhir.
Di antara keistimewaan Selawat 'Azimiah juga ialah lafaz 'Azim' yang terdapat di dalamnya diulang-ulang sebanyak 10 kali dan Allah telah mengungkapkan bilangan 10 dengan sifat kesempurnaan sebagaimana firmanNya :
تِلْكَ
عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ
"Semuanya itu sepuluh, cukup sempurna." (QS Al-Baqarah : 196)
"Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepada Engkau dengan cahaya Dzat Allah Yang Maha Agung, yang memenuhi tiang-tiang 'arasy Allah Yang Maha Agung, dan berdiri dengannya alam-alam Allah Yang Maha Agung, agar Engkau berselawat atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, yang mempunyai kadar yang agung dan (berselawat juga) atas keluarga Nabi Allah Yang Maha Agung, dengan kadar keagungan Dzat Allah Yang Maha Agung, pada setiap kelipan dan penafasan sebilangan apa yang ada pada ilmu Allah Yang Maha Agung, selawat yang sentiasa berkekalan dengan kekalnya Allah Yang Maha Agung, kerana mengagungkan hakmu wahai penghulu kami, wahai (Nabi) Muhammad, wahai yang mempunyai akhlak yang agung dan salamlah keatasnya dan keatas ahli keluarganya seperti semua itu juga dan himpunkanlah antaraku dan antaranya (Rasulullah) sebagaimana Engkau himpunkan antara roh dan diri (jasad) pada zahirnya dan pada batinnya, dalam keadaan sedar mahupun di dalam keadaan tidur, dan jadikanlah dia (Rasulullah) ya Tuhanku sebagai roh bagi dzatku daripada segala segi di dunia, sebelum hari akhirat, ya Allah Yang Maha Agung."