100 Kali Solawat - Ibnu Mandah
Dalam mawlid al-Barzanji dalam mengisahkan tentang khilaf mengenai status Islamnya Tsuwaibatul Aslamiyyah, ibu susuan Junjungan Nabi SAW, lalu dinyatakan pendapat Imam Ibnu Mandah @ Ibnu Mundah. Lalu siapakah Ibnu Mandah @ Ibnu Mundah ini? Beliau adalah Muhammad bin Ishak bin Muhammad bin Yahya bin Mandah @ Mundah. Dilahirkan pada tahun 310H atau 311H dan wafat dalam tahun 395H. Seorang ulama ahli hadits yang bertaraf al-Imam al-Hafiz. Imam adz-Dzahabi memuji beliau sebagai Imam ahli hadits bertaraf hafiz yang banyak merantau dalam menuntut ilmu dan beliau banyak menghafal hadits lagi kuat hafalannya lagi tsiqah. Guru-guru beliau mencapai 1,700 orang walaupun usianya hanya sekitar 84 tahun sahaja. Imam al-Bathriqani pula menyebut Ibnu Mandah @ Ibnu Mundah sebagai Imamnya para pemuka ahli hadits. Diceritakan juga bahawa Imam Abu Nu`aim apabila disebut nama Imam Ibnu Mandah di hadapannya, berkata bahawa Imam Ibnu Mandah al-Hafiz adalah satu gunung dari segala gunung (yakni gunung-gunung keilmuan). Namun Imam Ibnu Mandah juga turut menerima kritikan mengenai beberapa riwayat beliau yang dinilai sebagai riwayat yang saqithah, maudhu` dan dhaif oleh ahli-ahli hadits yang lain. Imam adz-Dzahabi selain memuji beliau turut memuatkan kritikan terhadap beliau, namun ianya dilakukannya dengan penuh adab kesopanan yang selayaknya menjadi pakaian umat Islam apa lagi ulamanya. Inilah sekilas mengenai Imam Ibnu Mandah rahimahullah.
Imam Ibnu Mandah meriwayatkan dalam "al-Fawaaid", Imam al-Ashbahaani meriwayatkan dalam "at-Targhib", Imam ad-Dailami meriwayatkan dalam "Musnad al-Firdaus" dan Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam "Hayatul Anbiya`", bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:-
من صلى علي مائة في يوم الجمعة و ليلة الجمعة قضى الله له مائة حاجة سبعين من حوائج الأخرة و ثلاثين من حوائج الدنيا ثم وكل الله بذلك ملكاً يدخله علي في قبري كما يدخل عليكم الهدايا إن علمي بعد موتي كعلمي في الحياة
"Sesiapa yang bershalawat ke atasku 100 kali pada hari Jumaat dan pada malam Jumaat, nescaya ditunaikan Allah baginya 100 hajat, 70 daripadanya hajat-hajat akhirat manakala 30 lagi daripada hajat-hajat dunia. Kemudian Allah mewakilkan satu malaikat mendatangi kuburku untuk membawa shalawat-shalawat tersebut sebagaimana datang kepada kamu seseorang membawa hadiah-hadiah. Sesungguhnya ilmuku setelah kewafatanku adalah seperti ketika aku hidup di dunia."So tunggu apa lagi, shallu `alan Nabiy .....
Tags
Selawat