Terdapat satu riwayat di dalam al-Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi bahawa akan dibentangkan setiap selawat daripada umat Nabi Muhammad ﷺ kepada Baginda ﷺ pada setiap hari Jumaat:
Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” [Riwayat al-Baihaqi (5995)]
Berikut adalah teks hadith yang menceritakan berkaitan selawat yang dibaca akan dibentangkan kepada Nabi ﷺ pada setiap hari Jumaat. Adapun berkaitan penilaian riwayat atau hadith ini, para ulama berbeza pandangan. Di sini kami nukilkan beberapa penilaian para ulama berkaitan hadith ini:
- Imam al-Baihaqi mengatakan hadith ini diriwayatkan dengan lafaz-lafaz yang berbeza-beza daripada Anas bin Malik RA. Akan tetapi, kesemuanya membawa kepada galakan (memberi semangat) untuk berselawat ke atas Nabi ﷺ malam Jumaat dan hari Jumaat. Tambahan pula, sebahagian sanadnya adalah dhaif dan apa yang telah kami sebutkan telah cukup. [Lihat: al-Sunan al-Kubra, 3/353]
- Imam al-Sakhawi menilai sanad hadith ini adalah hasan walaupun jumhur ulama menyatakan bahawa Makhul tidak pernah bertemu Abu Umamah RA. [Lihat: al-Qaul al-Badi’, 233]
- Imam al-Suyuthi menilai sanad hadith daripada riwayat yang dinukilkan oleh al-Baihaqi adalah hasan. [Lihat: al-Khasais al-Kubra, 2/457]
- Imam al-‘Ajlouni menghukum sanad hadith ini adalah jayyid (baik). [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 1/190]
- Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan. [Lihat: Tuhfah al-Zakirin, 50]
Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada hadith ini adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh para ulama di atas. Selain itu, Imam al-Syaukani hadith ini menjadi dalil bahawa setiap selawat yang dibaca oleh hamba-hamba Allah akan dibentang di hadapan Nabi ﷺ pada setiap hari Jumaat. [Lihat: Tuhfah al-Zakirin, 50]
Hadith di atas adalah hasan dan ia merupakan dalil yang jelas bahawa setiap selawat yang dibaca oleh umat Nabi Muhammad ﷺ akan dibentang di hadapan Baginda ﷺ pada setiap hari Jumaat. Justeru, marilah kita memperbanyakkan berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad ﷺ bersesuaian dengan firman Allah di dalam al-Quran:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Al-Ahzab: 56
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad ﷺ); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi ﷺ mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 11/5511]
Akhirnya, semoga Allah menggolongkan kita dalam kalangan pencinta Nabi ﷺ serta menghimpunkan kita bersama Nabi ﷺ di dalam Syurga kelak. Amin.
Wallahu a’lam.
Tags
Jumaat